Thara
We usually reply within 1 working day (Mon-Fri, 9am-5pm) 😊
Customer Care Team
Hi there
How can i help you today?
Start Whatsapp Chat
Locate your nearest vet with the new Oyen Vet Finder!
Find Vet Now

7 Cara Mencari Kucing Hilang Yang Anda Boleh Cuba

Expert for this article
This is some text inside of a div block.
Table of content

Bagi mana-mana pemilik kucing,situasi kucing hilang ini semestinya menjadi mimpi ngeri anda. 

Si comel yang menjadi peneman dan penghibur, tiba-tiba hilang daripada pandangan mata. Malah, ada kucing hilang seminggu sebelum berjaya dijumpai dalam keadaan lemah dan tidak bermaya. Risaunya!

Jika anda selalu mengalami masalah kucing anda hilang secara tiba-tiba, dalam artikel ini kami kongsikan 7 cara mencari kucing hilang yang anda boleh cuba. Jom kita mulakan!

Punca kucing hilang

Sebelum kita pergi lebih lanjut,pernahkah kita terfikir apa sebabnya yang membuatkan kucing tiba-tiba hilang dari rumah. Kami senaraikan beberapa punca kucing hilang yang biasanya berlaku:

Stres atau tertekan

Jika berlaku sebarang perubahan pada persekitaran kucing, ia juga boleh menjadi tertekan dan cuba menyembunyikan diri ke tempat yang lain. Walaupun dengan perkara remeh seperti kehadiran kanak-kanak kecil di rumah, kucing boleh menjadi tertekan kerana ia sensitif dengan bunyi serta bau pada persekitaran mereka.

Cedera sewaktu bergaduh dengan kucing lain

Jika kawasan persekitaran rumah anda ada kucing lain tidak kira kucing liar atau yang dibela jiran, tidak mustahil kucing anda akan bergaduh sesama mereka. Namun, apabila ia cedera, kucing akan cenderung untuk menyembunyikan diri untuk berlindung. Bagi mereka, ia mungkin sahaja sebagai perlindungan tapi bagi anda, anda mungkin menyangkakan kucing anda sudah hilang!

Jika kucing hanya mencari tempat perlindungan berdekatan rumah anda, ia mungkin masih boleh dijumpai, tetapi sekiranya sudah jauh dari rumah anda, ia mungkin agak sukar untuk mencari dan memerlukan lebih usaha  untuk menemui si comel ini.

Mencari pasangan untuk mengawan

Bagi kucing yang belum dimandulkan dan sudah dewasa, apabila mereka sudah matang dan bersedia untuk mengawan, sudah menjadi naluri mereka untuk mencari pasangan. Oleh itu, ia mungkin akan keluar dari rumah dan merantau jauh dari rumah mereka.

Terperangkap 

Kucing sangat sensitif kepada bau dan bunyi. Apabila mereka terkejut dengan bunyi yang kuat mungkin seperti kenderaan, atau hari yang hujan mereka akan bersembunyi di bawah bangunan atau tempat-tempat yang sempit.

Kadang-kadang, mereka mungkin terperangkap dan tidak boleh keluar kerana terperangkap di ruang yang terlalu sempit atau mungkin terlalu takut. Malah, bagi anak kucing, ada di antara mereka yang berlindung di bawah kereta dan juga enjin kereta bagi memanaskan badan mereka pada waktu hujan. 

Kejar haiwan lain

Ya, secara semulajadinya walaupun kucing ini nampak comel di mata anda, mereka masih mempunyai naluri memburu. Nampak sahaja haiwan kecil melintas, mereka akan mengejarnya sehingga ke luar kawasan yang biasa dilalui. Disebabkan kucing bergantung kepada bau untuk mengecam persekitaran dan membantu mereka mencari jalan pulang, apabila berada di luar persekitaran mereka, ia akan menyukarkan mereka mencari jalan pulang.

Sakit

Apabila kucing anda dalam keadaan sakit dan lemah, walaupun bukan disebabkan cedera, naluri mereka juga akan membuatkan mereka mencari tempat perlindungan dan bersembunyi. Sebagai pemilik kucing, anda perlu peka dengan tanda-tanda yang boleh menunjukkan kucing anda tidak sihat dan berada dalam keadaan sakit yang boleh membuatkan mereka menyembunyikan diri.

Cara mencari kucing hilang

Seterusnya, kita lihat beberapa cara yang boleh dicuba untuk mencari kucing hilang.

1. Cari di mana tempat kucing anda selalu meluangkan masa

Sebagai pemilik kucing, pastinya anda tahu tentang rutin seharian kucing kesayangan. Di sekitar kawasan rumah, pastinya kucing anda mempunyai beberapa tempat kegemaran mereka meluangkan masa setiap hari.

Biasanya, apabila kucing hilang dan tidak dijumpai, mereka lebih cenderung untuk berada di tempat kegemaran mereka tetapi dalam keadaan lebih gelap dan tersembunyi di sekitar kawasan rumah. Contohnya, kucing anda mungkin berada di bawah katil, di bawah rumah atau di bawah kereta!

Jika kucing ini akan biasanya akan memunculkan diri setiap kali dipanggil nama namun kali ini tidak, cuba lihat juga di sekeliling anda. Adakah di sekitar anda ada apa-apa sebab yang boleh membuatkan mereka berasa terancam? Jangan terkejut, walaupun hanya dengan suara kanak-kanak comel di tepi anda, kucing mungkin akan berasa terancam dan enggan keluar dari tempat persembunyian.

2. Cuba waktu malam yang lebih sunyi, kucing akan lebih sensitif kepada bunyi

Kucing merupakan sejenis haiwan yang sangat sensitif pada bunyi dan bau. Jika misi mencari pada waktu siang tidak berjaya, cuba pula di waktu malam. Pada waktu malam, keadaan lebih sunyi dan kucing akan lebih sensitif terhadap bunyi serta mungkin lebih peka jika dipanggil.

Panggil atau buat bunyi yang boleh menarik perhatian kucing. Anda juga boleh membawa sedikit makanan kegemaran mereka. Dalam kesibukan mencari kucing kesayangan, jangan lupa akan keselamatan diri sendiri juga. Bawa lampu suluh bersama rakan atau teman sewaktu mencari kucing ini dan pastikan anda sentiasa berjaga-jaga.

3. Tinggalkan makanan dan minuman, serta kotak di luar rumah

Apabila kucing yang sedang bersembunyi atau takut sudah mulai lapar, kebiasaannya mereka akan keluar mencari makanan. Dengan meletakkan makanan dan minuman di luar rumah, semoga kucing anda akan keluar dari tempat persembunyian untuk kembali ke rumah.

Dalam pada masa ini, pastikan anda juga berehat kerana pemilik kucing juga memerlukan tenaga untuk meneruskan misi pencarian. Beri semangat kepada diri dan anda boleh doa kucing hilang ini agar dijumpai semula.

4. Cari di dalam semak atau celah bangunan

Sebenarnya, kucing mungkin hilang hanya kerana mereka takut dan bersembunyi. Sewaktu anda mencari di kawasan dan jalan yang berdekatan dengan rumah, lihat juga kawasan semak-semak yang berdekatan. Siapa tahu, mungkin si comel bersembunyi dalam ketakutan di dalam semak.Selain itu, perhatikan juga pokok-pokok di sekitar rumah anda jika ada. Cuba panggil atau dengar bunyi kucing jika ada. Jangan terkejut, jika si kucing ini boleh memanjat pokok yang tinggi dan terlalu takut untuk turun. Jika perlu, mungkin anda perlu mendapatkan perkhidmatan anggota keselamatan seperti bomba untuk membawa kucing anda turun.

5. Tengok CCTV di luar rumah untuk mengesan pergerakan terakhir kucing

Ramai yang menyangkakan kegunaan CCTV hanya boleh digunakan sebagai tujuan keselamatan. Sebenarnya, CCTV juga boleh mengesan pergerakan si comel ini. Jika anda sudah kerap mengalami pengalaman kucing hilang, mungkin ini masanya untuk memasang CCTV ini di rumah.

Dengan CCTV di luar rumah, sekurang-kurangnya anda boleh mengawasi serta mengesan kali terakhir kucing anda dilihat dan ke arah mana yang dituju. Ia dapat membantu anda memulakan pencarian di sekitar kawasan yang betul.

6. Maklumkan kucing hilang di kawasan kejiranan serta media sosial

Seterusnya, jika anda sudah mengesyaki kucing anda hilang, maklumkan kucing hilang di kawasan kejiranan anda secepat mungkin. Selain itu, sebarkan juga di media sosial tentang kucing anda serta gambar kucing yang terkini.

Dengan kuasa viral atau tular media sosial, jangan terkejut sekiranya anda akan mendapat info dan maklumat yang lebih cepat. Jika mampu, berikan sedikit saguhati atau ganjaran kepada mereka yang memberi maklumat yang betul dan membantu menemui kucing anda kembali.

Bagi mereka yang tinggal di bangunan rumah, cuba lihat di kawasan bumbung atau balkoni rumah. Si kucing mungkin terlalu leka bermain di celah bangunan atau bumbung, dan kemudiannya terlalu takut untuk turun.

7. Maklumkan kepada jiran

Bak kata pepatah Melayu, jiran sepakat membawa berkat. Pada waktu ini, jiran boleh menjadi pihak bantuan yang sangat penting dalam proses pencarian. Anda juga boleh meminta keizinan mereka untuk mencari di sekitar kawasan rumah jiran atau kawasan garaj jika ada.

Sewaktu anda keluar mencari kucing hilang ini, mungkin juga kucing ini sebenarnya telah pulang ke rumah dan anda pula tiada. Pada masa inilah, jiran memainkan peranan penting untuk memaklumkan kepada anda dengan segera.

Langkah pencegahan

Sebenarnya, sebelum semua perkara ini berlaku, anda boleh melakukan beberapa langkah pencegahan seperti berikut:

Microchipping

Pasti anda tertanya-tanya apa itu microchipping. Dalam bahasa mudahnya, ia adalah proses menanam implan dalam bentuk cip yang sangat kecil ke dalam tubuh badan kucing anda. Haaa pasti anda sudah bimbang jika ia menyakitkan si kucing.

Sebenarnya, cip yang dimasukkan sangat kecil dan hanya sebesar anggaran sebutir beras. Malah, ia tidak memerlukan sebarang suntikan bius dan hanya memerlukan beberapa saat sahaja. Ia juga tidak akan meninggalkan sebarang kesan luka atau pendarahan. Apa yang menarik, ia hanya perlu dimasukkan sekali seumur hidup!

Dalam mikrocip ini, segala data tentang pemilik kucing serta nombor pengenalan kucing anda akan dipaparkan. Walaupun ia tidak boleh mengesan lokasi kucing, ia berguna bagi kes kecurian atau mereka yang mengaku kucing anda milik mereka pula!

Dengan harga kos rawatan serendah RM 35-RM 100 anda sudah boleh mendapatkan mikrocip ini buat kucing kesayangan. Malah, anda boleh membeli sendiri microchip ini di Shopee Mall kami, dan mendapatkan khidmat veterinar untuk memasangnya.

Simpan gambar kucing

Tanya sahaja mana-mana pemilik kucing, pasti anda menyimpan ribuan gambar si comel ini. Apa yang penting, pastikan gambar yang disimpan merupakan gambar terbaru kucing anda. Ya, kucing anda mungkin nampak comel dalam kostum atau pakaian, tapi pastikan juga gambar penuh kucing tanpa aksesori turut disimpan. Ini akan memudahkan lagi proses pengecaman kucing anda di masa hadapan.

Mandulkan kucing

Salah satu punca kucing hilang ialah kucing yang mencari pasangan atau mengawan. Dengan memandulkan kucing, kucing akan lebih kurang keluar ke tempat yang jauh bagi mencari pasangan. Secara tidak langsung, ia mengurangkan risiko kucing anda untuk hilang secara tiba-tiba.

Pasang alat penjejak kucing (cat tracking device)

Jika ada bajet lebih, anda boleh memasang alat penjejak kucing atau cat tracking device pada kucing. Biasanya, alat penjejak kucing ini akan dipasang pada kolar kucing untuk memudahkan mengesan pergerakan kucing ini.

Namun, ia tidak  akan menjamin sepenuhnya keselamatan kucing anda kerana masih ada risiko kolar kucing yang mempunyai alat penjejak ini boleh tercabut.

Bagi mereka yang masih mencari kucing anda yang hilang, kami harap tips dan cara yang kami kongsikan ini boleh membantu. Jangan berputus asa dan kami doakan kucing kesayangan anda dijumpai kembali!