Thara
We usually reply within 1 working day (Mon-Fri, 9am-5pm) 😊
Customer Care Team
Hi there
How can i help you today?
Start Whatsapp Chat
Locate your nearest vet with the new Oyen Vet Finder!
Find Vet Now

13 Tanda Kucing Sakit Dan Apa Yang Anda Perlu Lakukan

Expert for this article
This is some text inside of a div block.
Table of content

Bagi pemilik kucing, pastinya anda sudah sebati dengan perangai comel si kucing ini. 

Namun, bagaimana sekiranya kucing anda yang dahulunya ceria dan aktif, tiba-tiba menjadi lemah dan tidak aktif sepanjang hari.

Bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripada merawat. Apabila kucing berada dalam keadaan sakit dan tidak sihat, mereka biasanya akan menunjukkan beberapa tanda dan simptom. 

Dalam artikel kali ini, kami akan kongsikan tanda kucing sakit dan apa yang anda perlu lakukan.

1.Hilang selera makan

Sekiranya kucing anda sebelum ini tidak mempunyai masalah sewaktu makan namun tiba-tiba hilang selera makan, ia merupakan salah satu tanda yang anda perlu perhatikan. 

Walaupun nampak mudah, kucing yang hilang selera makan atau langsung tidak makan sebenarnya sangat berbahaya dan boleh membawa maut. 

Bukan itu sahaja, hilang selera makan juga boleh menjadi simptom penyakit kucing lain yang boleh membawa maut.

Sekiranya ini terjadi kepada kucing anda, cuba kaji mengapa perkara ini berlaku. Bagi sesetengah kucing, perkara ini boleh disebabkan oleh perubahan jenis makanan yang diberi. Sekiranya kucing anda masih hilang selera makan, anda perlu segera membuat lawatan ke pihak veterinar yang berdekatan

2. Selera makan bertambah

Hilang selera makan salah, selera makan bertambah pun salah? 

Ya, selera makan yang bertambah terutamanya bagi kucing yang tua merupakan salah satu simptom penyakit hyperthyroidism.

Malah. Sekiranya ia berlaku kepada kucing yang masih muda, cuba kawal selera makan kucing anda pada peringkat awal ini. 

Sekiranya dibiarkan, kucing boleh menjadi obesiti dan juga boleh mendapat komplikasi pelbagai penyakit yang lain.

3. Perubahan berat badan

Biasanya, perubahan berat badan akan berlaku akibat kesan hilang atau bertambahnya selera makan. 

Sekiranya kucing anda menunjukkan penurunan berat badan, ia merupakan salah satu tanda yang serius dan perlu dibawa ke veterinar bagi rawatan kecemasan.

Sekiranya berat badan kucing anda bertambah, namun masih dalam lingkungan yang normal, ia tidak menjadi masalah. 

Namun, sekiranya kucing anda mempunyai berat badan berlebihan dan berat semakin naik secara mendadak, ia boleh mendatangkan kesan komplikasi buat jangka masa yang panjang.

4. Bulu gugur secara banyak

Seperti yang kita ketahui, bulu kucing biasanya akan gugur dan tidak asing lagi melekat di baju atau sofa. Namun, sekiranya bulu kucing ini gugur lebih banyak daripada biasa, ia mungkin salah satu tanda kucing anda sedang sakit.

Selain itu, bulu kucing yang gugur secara banyak dan abnormal ini mungkin akan meninggalkan kesan botak pada kawasan tertentu sahaja. 

Feline alopecia atau kesan botak kepada kucing ini boleh disebabkan oleh alahan, atau jangkitan parasit seperti kutu kucing.

Walaupun nampak remeh, sekiranya dibiarkan tanpa rawatan yang betul, kesihatan kucing anda mungkin akan terjejas buat jangka masa yang panjang. 

5. Muntah dan cirit birit

Seterusnya, kucing yang muntah dan cirit-birit juga merupakan salah satu simptom kucing anda sedang sakit. 

Walaupun ada sesetengah kucing yang biasanya akan muntah disebabkan hairball, dan dianggap biasa oleh pemilik kucing, namun ia bukan satu-satunya punca perkara ini terjadi.

Berikut merupakan beberapa keadaan yang boleh menyebabkan kucing anda muntah dan cirit-birit:

  • Keracunan makanan
  • Perubahan diet makanan
  • Inflamasi dan iritasi pada usus
  • Kesan sampingan daripada sesetengah ubat

Sekiranya kucing anda mengalami muntah dan cirit-birit, pada peringkat ringan, ia masih boleh dirawat dengan memberi diet makanan yang mudah hadam, dan ubat-ubatan. 

Namun, sekiranya berada di tahap yang teruk, anda perlu membawa kucing ke veterinar bagi menjalani pemeriksaan yang lebih lanjut.

Pihak veterinar mungkin akan menjalankan ujian darah, X- Ray dan juga pemeriksaan abdomen bagi mengenalpasti punca sebenar perkara ini berlaku. 

Kucing anda yang mungkin mengalami dehidrasi juga akan diberikan air melalui suntikan IV.

6. Bengkak atau ketulan abnormal pada bahagian badan

Sebagai pemilik kucing, pastinya anda kerap membelai dan menggosok kucing kesayangan anda. Sewaktu menggosok mereka, jangan lupa untuk perhatikan serta rasa sebarang ketulan atau bengkak yang abnormal pada kucing.

Walaupun kucing anda nampak sihat dan normal, ketulan atau bengkak pada bahagian badan kucing ini tidak boleh dipandang remeh. Ia boleh menjadi satu tanda bahawa kucing anda sakit dan merupakan simptom kepada penyakit kucing lain yang serius.

Berikut merupakan beberapa punca ketulan atau bengkak ini terjadi:

  • Kecederaan ringan
  • Ketulan bernanah
  • Tumor biasa
  • Tumor kanser

Biasanya, ketulan atau bengkak yang disebabkan kecederaan ringan akan pulih dan sembuh sendiri, namun sekiranya tidak diawasi secara awal, ia boleh mengalami jangkitan kuman.

Salah satu cara yang terbaik sekiranya kucing anda mengalami simptom ini ialah mendapatkan rawatan veterinar dengan segera. Ia membantu mengesan penyakit serius yang tidak diingini seperti kanser pada peringkat awal.

7. Mempunyai masalah menggunakan litter box

Seterusnya, sekiranya kucing anda tiba-tiba mempunyai masalah menggunakan litter box, ini mungkin salah satu tanda bahawa mereka sedang sakit. 

Sebenarnya, masalah menggunakan litter box ini juga boleh berpunca disebabkan perubahan tempat, litter box yang kotor dan sebagainya.

Namun, sekiranya perkara ini berlaku secara tiba-tiba, ia juga boleh berpunca daripada sesetengah penyakit yang menyebabkan kucing tidak mampu mengawal pundi kencingnya dengan baik.

8. Kerap haus dan kencing

Dengan keadaan cuaca yang panas, sekiranya kucing anda minum kerap daripada biasa ia tidak menjadi masalah. 

Namun, sekiranya ia terlampau kerap sehingga bekas minuman kerap kosong, ia boleh menjadi salah satu tanda bahawa kucing anda sakit!

Ya, tiada yang bahaya hanya kerana kucing anda kerap minum daripada biasa. Namun, tahukah anda, kerap haus dan kencing juga biasanya boleh disebabkan penyakit diabetes, hyperthyroidism dan penyakit buah pinggang!

9. Cara bernafas yang tercungap-cungap

Bagi kucing yang aktif, setelah mereka berlari atau melakukan aktiviti fizikal, mereka mungkin akan tercungap-cungap bagi melepaskan lelah. 

Namun, sekiranya dalam keadaan rehat dan duduk, kucing anda juga menunjukkan tanda bernafas secara tercungap-cungap, besar kemungkinan kucing anda mengalami masalah pernafasan.

Selain itu, anda juga boleh memerhatikan bunyi nafas pada kucing anda. Sekiranya kucing anda bernafas secara kuat atau mengeluarkan bunyi wheezing atau semput, segera bawa kucing anda ke veterinar. 

Masalah pernafasan yang tidak dirawat buat jangka masa yang panjang akan memberikan kesan pada paru-paru kucing anda dan boleh memakan kos yang lebih besar untuk dirawat.

10. Discaj atau cecair keluar dari mata dan hidung

Bagi seekor kucing yang sihat, mata mereka akan kelihatan bersih dan sihat. Begitu juga dengan bahagian hidung, ia akan kelihatan bersih kerana kucing mampu membersihkan diri mereka sekiranya sihat.

Namun, bagaimana pula sekiranya cecair atau discaj mula keluar dari mata dan hidung? 

Sekiranya ia jarang berlaku dan pulih kembali, ia mungkin disebabkan oleh faktor yang ringan seperti alahan, habuk dan sebagainya.

Namun, sekiranya ia kerap berlaku dan berulang sehingga mungkin mata kucing kelihatan tidak sihat atau kucing sukar bernafas disebabkan lelehan pada hidung, dapatkan rawatan veterinar dengan segera bagi mengenalpasti punca sebenar pekara ini berlaku.

11. Kerap mengiau secara kuat

Ya, kucing memang suka mengiau terutamanya ketika mereka gembira, meminta makanan atau meminta tolong. 

Sebagai pemilik kucing, pastinya anda sudah tahu beza kucing anda mengiau dalam keadaan gembira atau tidak.

Sekiranya tabiat mereka berubah dan kerap mengiau secara kuat tanpa sebab, mungkin ia sedang meminta tolong atau memberitahu bahawa mereka sedang sakit.

12. Nafas berbau busuk

Jangan sesekali memandang remeh masalah nafas berbau busuk pada kucing anda. Ia mungkin merupakan tanda kucing anda mengalami masalah penyakit mulut. 

Pada tahap teruk, air liur akan meleleh daripada mulut kucing dan juga berdarah.

Sekiranya kucing anda mengalami masalah jangkitan pada mulut, bakteria di dalam mulut boleh merebak dan menyebabkan masalah pada jantung dan organ penting yang lain.

13. Menyembunyikan diri

Akhir sekali, pada habitat semulajadi, kucing akan menyembunyikan diri sekiranya ia berada dalam keadaan lemah dan sakit. 

Sekiranya kucing anda yang sebelum ini ceria dan aktif, tiba-tiba menyembunyikan diri dan hampir hilang, ia mungkin salah satu tanda kucing anda sedang sakit.

Sekiranya sudah menjumpai kucing anda yang bersembunyi, jangan lupa untuk memerhatikan kelakuan atau bawa kucing anda ke veterinar untuk menyiasat sebarang penyakit yang boleh menyebabkan mereka menyembunyikan diri.

Kesimpulan

Semoga perkongsian artikel kali ini membantu anda mengesan lebih awal tanda kucing anda sedang sakit yang selama ini mudah terlepas pandang. 

Malah anda juga boleh menjimatkan lebih banyak kos rawatan sekiranya penyakit ini dikesan daripada awal.

Bagi mendapatkan lebih penjimatan serta memastikan si comel ini mendapatkan perlindungan secukupnya, apa kata dapatkan insurans bagi kucing anda?

Dengan mendapatkan Oyen Pet Insurance, ia akan melindungi segala kos rawatan dan surgeri sehingga RM8,000. 

Anda sudah tidak perlu lagi bimbang memikirkan kos rawatan yang perlu dihabiskan bagi si comel ini. Semak kelayakan di sini.