Kutu kucing bukan sahaja menyebabkan kegatalan dan ketidakselesaan pada haiwan peliharaan, tetapi juga boleh membawa penyakit berbahaya kepada kucing dan manusia. Masalah ini sering berlaku tanpa disedari sehingga menjadi jangkitan yang serius.
Dalam artikel ini, kami kongsikan panduan lengkap tentang cara mengenal pasti kutu kucing, langkah pencegahan yang berkesan, dan rawatan selamat yang boleh dilakukan di rumah.
Apa itu Kutu Kucing
Menurut International Cat Care, kutu kucing ialah parasit kecil yang hidup dengan menghisap darah haiwan perumah, khususnya kucing. Dikenali sebagai cat fleas, serangga ini bukan sahaja menyebabkan kegatalan dan kerengsaan pada kulit kucing, malah boleh mengakibatkan masalah kesihatan yang lebih serius.
Apabila kucing dijangkiti kutu dalam jumlah yang banyak, ia boleh mengalami keguguran bulu, luka terbuka akibat garukan berterusan, serta reaksi alahan terhadap gigitan kutu.
Lebih membimbangkan, kutu kucing juga mampu menjadi vektor atau pembawa penyakit berbahaya yang boleh menjangkiti bukan sahaja kucing, malah manusia yang tinggal bersamanya.

Jenis Kutu Kucing
Berikut ialah beberapa jenis penyakit yang boleh dibawa oleh kutu kucing:
- Cacing Pita (Tapeworms)
- Kucing boleh dijangkiti cacing pita apabila mereka menelan kutu yang dijangkit. Cacing ini hidup di dalam usus dan boleh menyebabkan masalah penghadaman serta kehilangan berat badan. Walaupun jarang berlaku, manusia juga boleh dijangkiti, terutamanya kanak-kanak.
- Penyakit Cakar Kucing (Cat Scratch Disease)
- Disebabkan oleh bakteria Bartonella henselae. Kucing biasanya tidak menunjukkan tanda sakit, tetapi boleh memindahkan bakteria ini kepada manusia melalui cakaran atau gigitan. Jangkitan ini boleh menyebabkan demam, bengkak kelenjar limfa, dan keletihan pada manusia.
- Wabak (Plague)
- Bakteria Yersinia pestis biasanya dibawa oleh kutu tikus, tetapi dalam keadaan tertentu, kucing boleh terlibat sebagai perantara. Ini boleh membawa risiko jangkitan kepada manusia, walaupun kebarangkaliannya rendah.
- Typhus Bawaan Kutu (Flea-Borne Typhus)
- Disebabkan oleh bakteria Rickettsia spp. yang boleh didapati dalam kutu kucing. Walaupun kesan terhadap kucing masih kurang difahami, jangkitan ini boleh menyebabkan demam denggi, ruam, dan komplikasi kepada manusia.
Punca Kutu Kucing
Lazimnya, kucing boleh dijangkiti kutu pada bila-bila masa, walaupun mereka tinggal sepenuhnya di dalam rumah. Ini kerana kutu dewasa yang berada pada haiwan perumah lain akan bertelur, dan telur tersebut akan jatuh ke persekitaran seperti permaidani, celah sofa, atau lantai.
Telur kutu ini kemudiannya menetas menjadi larva, lalu berubah kepada pupa (kepompong). Menariknya pupa kutu boleh bertahan dalam persekitaran sehingga setahun, walaupun dalam keadaan beku, kering, atau selepas rawatan racun serangga. Mereka akan kekal tersembunyi sehingga keadaan persekitaran sesuai untuk menetas dan kutu dewasa akan muncul lalu melompat ke atas haiwan perumah termasuklah kucing.
Kucing luar rumah pula berisiko lebih tinggi kerana mereka sentiasa terdedah kepada persekitaran luar yang penuh dengan kemungkinan pendedahan kepada kutu.
Bukan itu sahaja, malah kucing juga boleh terdedah kepada kutu apabila mereka berada atau melalui kawasan yang pernah dilalui oleh haiwan lain yang membawa kutu, seperti anjing liar atau kucing jalanan.
Simptom & Gejala
Oleh kerana kucing adalah seekor haiwan yang sangat pandai menjaga kebersihan diri, mereka selalunya akan menjilat atau membersihkan kutu sebelum anda sempat nampaknya.
Jadi, adalah perkara biasa jika anda perasan tanda-tanda kutu walaupun belum nampak kutu secara langsung pada badan kucing. Antara tanda tersebut termasuklah:
- Kucing kerap menggaru
- Keguguran bulu
- Kemerahan atau iritasi pada kulit
- Ketulan kecil berkeruping pada kulit
- Menjilat atau membersihkan diri secara berlebihan
- Kesan kotoran kutu (najis kutu yang kelihatan seperti serbuk hitam) pada bulu kucing
Cara untuk Periksa Badan Kucing yang Berkutu
Memeriksa badan kucing untuk mengesan kutu adalah langkah penting bagi memastikan kesihatan atau keselesaan haiwan peliharaan anda. Berikut adalah cara yang boleh anda lakukan satu persatu:
1. Raba dan Periksa Bulu Kucing Secara Teliti
Gunakan jari anda untuk meraba bulu kucing dengan perlahan, sambil memerhati sama ada terdapat kutu atau tanda-tanda lain seperti keguguran bulu atau ketulan kecil berkeruping pada kulit.
Tumpukan perhatian pada kawasan yang sering menjadi tempat persembunyian kutu seperti bahagian perut dan pangkal ekor, kerana kutu cenderung bersembunyi di kawasan yang hangat dan sukar dilihat.
2. Gunakan Sikat Kutu (Flea Comb)
Sikat kutu direka khas dengan celahan halus yang boleh menangkap kutu, telur kutu, dan najis (juga dikenali sebagai flea dirt). Untuk memastikan sama ada bintik hitam yang anda jumpa itu benar-benar najis kutu atau hanya kotoran biasa, lakukan ujian mudah.
Ambil beberapa bintik hitam menggunakan sikat kutu dan letakkan di atas tisu lembap. Jika ia berubah warna menjadi merah, itu menandakan ia adalah najis kutu yang mengandungi darah.

3. Perhatikan Tingkah Laku Kucing
Kutu boleh menyebabkan rasa gatal yang melampau dan ketidakselesaan kepada kucing. Akibatnya, kucing menjadi lebih gelisah, sentiasa menjilat atau menggaru badannya, dan menunjukkan perubahan tingkah laku.
Jika kucing anda tiba-tiba kelihatan tidak selesa, murung, atau kerap menjilat satu kawasan tertentu, ini mungkin petunjuk awal kehadiran kutu di badannya.
Dengan melakukan pemeriksaan secara berkala menggunakan kaedah ini, anda boleh mengesan dan merawat kutu dengan lebih awal sebelum ia menjadi serius.
Cara untuk Merawat Kutu Kucing
Kajian mendapati 95% kutu sebenarnya hidup dalam persekitaran (bukan pada badan kucing. Justeru, rawatan persekitaran rumah adalah langkah penting yang tidak boleh diabaikan.
Berikut ialah langkah-langkah berkesan dalam merawat kutu kucing dan persekitarannya:
1. Rawat Rumah dan Kereta
- Gunakan produk semburan anti-kutu yang disyorkan oleh doktor haiwan.
- Semburan yang mampu membunuh kutu dewasa dan menghalang perkembangan telur dan larva adalah paling berkesan.
- Rawatan perlu diulang setiap 2–3 minggu untuk memutuskan kitaran hidup kutu.
2. Cuci Tempat Tidur dan Kain yang Terlibat
- Basuh semua alas tidur dan kain yang disentuh oleh kucing dengan air panas sekurang-kurangnya 60℃.
Gunakan pengering (dryer) untuk memastikan semua telur dan larva musnah. - Vakum seluruh rumah secara berkala, termasuk celah perabot dan tempat yang tersembunyi.
3. Rawatan Untuk Kucing Yang Terjejas
- Jika kucing sangat gatal, luka, atau kehilangan bulu, rawatan ubat preskripsi mungkin diperlukan.
- Gunakan syampu atau mousse yang menenangkan untuk mengurangkan iritasi kulit ringan.
- Pasangkan buster collar atau pakaian perubatan khas untuk haiwan bagi mengelakkan kucing mencakar atau menjilat luka.
- Berikan suplemen kulit yang mengandungi minyak omega untuk membantu memulihkan kesihatan kulit yang rosak.

Cara untuk Elak Kutu Kucing
Mencegah kutu kucing adalah jauh lebih mudah, berkesan dan menjimatkan kos berbanding merawat jangkitan yang sudah berlaku. Berikut adalah cara-cara pencegahan yang berkesan:
- Gunakan produk pencegahan kutu sepanjang tahun
Gunakan ubat kutu yang disarankan oleh doktor haiwan secara berkala, walaupun kucing anda tidak keluar rumah. Kebanyakan produk digunakan setiap bulan, tetapi ada juga yang bertahan lebih lama. Pencegahan secara berterusan sangat penting kerana kutu boleh masuk ke rumah melalui pakaian atau haiwan lain. - Sikat dan groom kucing secara berkala
Menyikat bulu kucing bukan sahaja membantu mengurangkan bulu gugur, tetapi juga memudahkan anda mengesan kehadiran kutu, telur, atau tanda-tanda lain seperti bintik hitam dan iritasi kulit. - Bersihkan rumah secara konsisten
Vakum rumah secara kerap, terutama di kawasan berkarpet, celah-celah perabot, dan tempat kucing suka baring. Ini membantu menyingkirkan telur kutu yang mungkin tersembunyi dalam persekitaran. - Basuh tempat tidur kucing dengan air panas
Alas tidur kucing perlu dibasuh menggunakan air panas bagi membunuh kutu, larva, dan telur yang melekat pada kain. - Gunakan semburan rumah anti-kutu
Semburan khas ini mampu membunuh kutu dan telur di persekitaran rumah dan biasanya memberikan perlindungan selama 6 hingga 12 bulan. Pilih semburan yang sesuai untuk rumah yang ada haiwan peliharaan. - Hadkan sentuhan dengan haiwan terbiar atau yang tidak dirawat
Kucing boleh dijangkiti kutu apabila bergaul dengan haiwan lain yang tidak mendapat rawatan kutu secara berkala. Elakkan kucing anda daripada berdekatan dengan haiwan liar atau haiwan peliharaan jiran yang tidak dipantau. - Jaga kebersihan kawasan luar rumah
Jika anda ada halaman atau taman, pastikan rumput sentiasa dipotong pendek dan halang akses haiwan liar seperti tikus atau burung, yang boleh membawa kutu ke persekitaran kucing anda.
Bila Perlu Jumpa Doktor?
Jika kucing anda masih menggaru, ada ruam kulit, atau rawatan kutu tidak berkesan, sebaiknya bawa ke doktor haiwan. Ubat kutu yang dipreskripsi lebih berkesan daripada yang dibeli sendiri.

Semasa rawatan, perhatikan selera makan, tingkah laku dan kesihatan kucing. Jika kucing kelihatan tidak sihat atau berkelakuan pelik, segera dapatkan pemeriksaan. Kutu boleh menyebarkan penyakit seperti cacing pita dan bartonella. Jangkitan kutu yang teruk juga boleh menyebabkan anemia, terutama pada anak kucing dan kucing tua.
Tanda-tanda anemia yang perlu perhatian segera:
- Lesu
- Tiada selera makan
- Gusi pucat
- Lemah
- Berat turun
- Susah bernafas
Jika ragu-ragu, bawa terus ke klinik haiwan untuk rawatan terbaik.