Thara
We usually reply within 1 working day (Mon-Fri, 9am-5pm) 😊
Customer Care Team
Hi there
How can i help you today?
Start Whatsapp Chat
Locate your nearest vet with the new Oyen Vet Finder!
Find Vet Now

8 Cara Menjaga Kucing Tua

Expert for this article
This is some text inside of a div block.
Table of content

Setiap peringkat umur kucing sebenarnya memerlukan penjagaan yang rapi daripada pemilik kucing. 

Bermula daripada anak kucing sehinggalah kucing dewasa, terdapat cara penjagaan yang sesuai bagi setiap peringkat umur. Namun, kucing tua memerlukan penjagaan yang lebih rapi disebabkan faktor usia mereka yang lebih mudah terdedah kepada penyakit.

Berapakah usia kucing tua?

Sebelum kita pergi lebih lanjut mengenai cara menjaga kucing tua, berapakah sebenarnya umur kucing yang sudah tua? Sebenarnya, kucing akan menunjukkan tanda-tanda penuaan lebih awal sekiranya ia tidak dijaga dengan baik sejak daripada kecil lagi.

Ada kucing yang sudah menunjukkan tanda penuaan bermula umur 7 tahun, dan ada yang masih sihat pada umur 10 tahun. Namun, kebiasaannya kucing yang sudah berusia 11 tahun ke atas akan dianggap kucing tua atau senior cat.

Cara menjaga kucing tua

Sekiranya anda memiliki kucing yang sudah tua, kali ini Oyen kongsikan bagaimana cara menjaga kucing tua agar mereka mempunyai kehidupan yang lebih berkualiti buat jangka masa yang panjang. Jom kita bermula!

1. Ketahui perubahan pada tabiat harian kucing

Jika anda sudah membela kucing anda buat masa yang lama, pastinya setiap gerak-geri dan tingkah laku kucing kesayangan sudah fasih di minda. Di mana mereka pergi berjalan, atau apa rutin harian yang mereka akan lakukan setiap hari.

Sekiranya mereka menjadi kurang aktif berbanding biasa, ia sebenarnya normal bagi kucing yang sudah semakin tua. Namun, sekiranya mereka mereka hanya tidur sepanjang hari dan langsung tidak makan dan minum, anda sudah perlu bimbang dan membawa mereka ke veterinar jika perlu.

Sebenarnya perubahan pada tabiat harian kucing ini perlu diperhatikan bagi kucing di setiap peringkat umur, namun ia sangat penting bagi kucing yang sudah tua kerana kadar penyembuhan mereka lebih lambat berbanding kucing dewasa yang sihat. Sekiranya anda terlewat menyedari perubahan pada kucing tua ini, ia akan menyukarkan proses rawatan dan mungkin sudah terlambat untuk diselamatkan.

2. Lihat perubahan pada berat badan

Sama seperti manusia, kucing yang tua juga akan mengalami perubahan pada berat badan. Mereka akan kehilangan berat badan dan menjadi kurang berselera berbanding dengan dahulu. Anda boleh membantu mereka berselera semula dengan cuba memberikan makanan kegemaran dan membantu untuk makan walaupun dengan kuantiti yang sedikit, tetapi lebih kerap.

Sekiranya perubahan berat badan tidak terlalu ketara, ia tidak menjadi masalah, namun sekiranya kucing anda terlalu banyak kehilangan berat badan, jangan biarkan ia berterusan . Tahukah anda, kehilangan berat badan yang banyak juga sebenarnya boleh disebabkan komplikasi pelbagai penyakit dan memerlukan rawatan segera.

Bagaimana pula sekiranya kucing anda semakin gemuk dan bertambah berat badan? Jangan biarkan ia berlarutan! Walaupun nampak comel dan sedap untuk dipeluk, kucing yang obesiti akan menyebabkan lebih banyak komplikasi kepada penyakit.

Nak tahu cara mengurangkan obesiti bagi kucing juga? Jom baca perkongsian artikel ini.

3. Sediakan diet makanan yang sesuai

Seterusnya, apabila kucing sudah semakin tua, mereka juga mungkin perlu menukar diet makanan yang lebih sesuai dengan usia mereka. Anda boleh mendapatkan dry food untuk kucing tua di pasaran yang lebih sesuai dengan keperluan nutrisi mereka.

Apabila sudah sampai ke satu tahap, kucing anda juga mungkin sudah tidak sesuai lagi untuk memakan makanan kucing yang berbentuk dry food. Kali ini, anda boleh mencuba memberikan mereka makanan wet food untuk kucing tua yang lebih mudah dikunyah dan ditelan.

Apabila mereka sudah tua, gigi kucing juga mungkin sudah mengalami masalah dan menyebabkan mereka sudah tidak mampu untuk mengunyah makanan dengan baik. Malah, anda juga mungkin perlu menukar pilihan makanan yang ada memastikan mereka tetap berselera dan makan untuk mempunyai tenaga bagi menjalani kehidupan seharian.

4. Berikan bekalan air yang secukupnya

Selain itu, jangan lupa untuk memberikan mereka bekalan air yang secukupnya. Kucing yang sudah meningkat usia akan cenderung untuk mengalami sembelit dan penyakit buah pinggang.

Sekiranya kucing anda tidak terhidrasi dengan baik, ia akan memberikan kesan kepada mereka. Bagi memudahkan kucing tua sentiasa terhidrasi, sediakan bekas minuman di tempat yang mudah dan sentiasa menjadi laluan mereka.

Jangan letakkan bekas air minuman di tempat yang terlampau tinggi dan sukar dicapai mereka. Ini boleh menyebabkan mereka terhalang dan tidak akan dapat bekalan air minuman yang secukupnya.

5. Pastikan kebersihan dan bulu mereka dijaga dengan rapi

Bagi kucing tua, bulu mereka akan cenderung untuk menjadi lebih kusut dan kasar berbanding kucing dewasa biasa. Malah, disebabkan faktor penyakit, ia boleh menyukarkan mereka untuk membersihkan badan mereka secara kerap seperti dulu.

Sebagai pemilik kucing yang bertanggungjawab, anda boleh membantu mereka dengan menyikat bulu mereka secara rutin. Jika perlu, mandikan mereka sekiranya bulu mereka terlalu kotor kerana ia cenderung untuk dijangkiti penyakit kulit.

Bukan bulu sahaja, kuku kucing yang sudah tua biasanya cenderung untuk tumbuh lebih panjang kerana biasanya mereka sudah tidak aktif mengasah kuku dengan mencakar scratching post. Kuku kucing yang terlampau panjang boleh melukakan tapak kaki kucing pula sekiranya dibiarkan. Jadi, jangan lupakan penjagaan kuku kucing juga ya!

6. Sediakan persekitaran rumah yang sesuai bagi kucing tua

Ya, oyen tahu pastinya persekitaran rumah pemilik kucing yang cintakan kucing ini pastinya penuh dengan kemudahan yang lengkap bagi si comel ini. Namun, sekiranya anda menjaga kucing yang tua, mungkin terdapat sedikit perubahan yang perlu dilakukan.

Contohnya, kucing tua yang mengalami masalah sendi memerlukan bantuan untuk naik ke sofa kegemaran mereka. Gunakan bantal yang lembut atau stool yang rendah bagi membantu mereka untuk naik dengan selamat dan menikmati rutin kegemaran mereka seperti biasa.

Selain itu, sediakan tempat tidur yang lebih tebal untuk membantu mereka lebih selesa untuk tidur. Letakkan tempat tidur ini di kawasan yang lebih senyap dan tenang bagi membantu mereka untuk tidur dengan lebih nyenyak tanpa gangguan. Dengan memberikan waktu tidur yang cukup dan berkualiti bagi kucing tua, ia akan membantu kesihatan mereka buat jangka masa yang panjang.

7. Sediakan lebih banyak litter box di sekeliling rumah

Pada usia tua, kucing anda mungkin akan lebih kerap menggunakan litter box atau pasir kucing. Sediakan lebih banyak litter box di sekitar ruangan rumah kerana kucing yang tua cenderung mengalami kesukaran untuk mengawal pundi kencing.

Sekurang-kurangnya, ia akan mengurangkan peluang untuk berlaku kemungkinan kucing tua anda tidak sempat ke litter box

8. Dapatkan rawatan rutin ke veterinar

Akhir sekali, perkara yang paling penting bagi kucing tua  adalah mendapatkan rawatan rutin ke veterinar. Bagi kucing tua, rawatan rutin ke veterinar amat penting bagi mengesan sebarang penyakit pada peringkat awal. 

Disebabkan faktor umur, kucing tua cenderung untuk mengalami komplikasi penyakit yang lebih banyak serta faktor risiko yang lebih tinggi. Jadi, jangan sesekali lupakan rawatan rutin bagi si kucing tua ini.

Oyen tahu, penjagaan kucing tua ini memerlukan komitmen dan tanggungjawab yang lebih besar berbanding peringkat usia lain. Namun, jangan kita lupakan tanggungjawab sebagai pemilik kucing hanya kerana mereka dimamah usia. Hiburkan mereka dan berikan mereka penjagaan yang terbaik sebagaimana mereka yang telah menjadi penghibur hati kita di suatu masa dahulu.

Bagi insurans Oyen, kami menawarkan perlindungan hanya sehingga kucing berusia 10 tahun. Sama seperti insurans manusia, sebarang penyakit yang sudah sedia ada tidak akan dilindungi lagi. 

Oleh itu, ia sangat penting bagi anda untuk mendapatkan insurans kucing sejak si comel ini kecil lagi bagi memastikan mereka mendapatkan penjagaan kesihatan yang terbaik sejak daripada awal lagi.

Dengan mendapatkan Oyen Pet Insurance, ia akan melindungi segala kos rawatan dan surgeri sehingga RM8,000. Anda sudah tidak perlu lagi bimbang memikirkan kos rawatan yang perlu dihabiskan bagi si comel ini.

Semak kelayakan di sini.