Check out if your pet is eligible for insurance

It’s a fun quiz made just for pet parents like you!

Check Now
Join thousands of furparents who have done this quiz
Successfully Subscribed!

Interested to get a free pet insurance quote?

Get Quote
Sorry your pet may not be eligible for insurance currently 😞
Oops! Something went wrong while submitting the form.

7 Cara Hapuskan Kutu Kucing

Table of Content

Sebut sahaja kutu kucing, pastinya sudah terbayang di fikiran anda tentang parasit ini yang bukan sahaja menimbulkan rasa geli, malah akan menghisap darah kucing anda.

Jika dibiarkan buat masa yang lama, ia akan menjejaskan kesihatan si comel anda.

Malah lebih menakutkan, bagi mereka yang mempunyai kulit sensitif atau anak yang masih kecil, kutu kucing ini boleh mendatangkan rasa gatal-gatal pada kulit.

Jangan bimbang, dalam artikel ini, Oyen akan kongsikan 7 cara hapuskan kutu kucing anda yang boleh dicuba. 

Apa itu kutu kucing?

Kutu kucing atau nama saintifiknya Ctenocephalides felis merupakan sejenis parasit yang hidup dengan menghisap darah daripada perumahnya, atau kucing anda.

Dengan saiz yang boleh mencecah 1-2 mm, kutu kucing ini biasanya berwarna coklat gelap.

Tanda-tanda kucing sudah dijangkiti kutu

Sebelum kita pergi lebih lanjut tentang cara menghapuskan kutu kucing, jom kita kenali apakah tanda-tanda kucing yang sudah dijangkiti kutu seperti berikut:

  • Kucing anda kerap menggaru-garu badan
  • Terdapat tompok-tompok botak pada badan kucing dengan bulu yang mulai gugur
  • Bintik-bintik hitam pada bulu kucing atau tempat tidur
  • Kucing terlalu kerap menjilat bulunya
  • Kulit kucing menjadi merah dan kadang-kadang timbul bintik-bintik merah

Punca kucing dijangkiti kutu

Sebenarnya, terdapat beberapa punca yang menyebabkan kucing boleh dijangkiti kutu. Tidak kira kucing anda kerap main di luar atau hanya tinggal di dalam rumah, ia masih boleh dijangkiti kutu.

Berikut merupakan beberapa punca kucing dijangkiti kutu:

Berjangkit dengan kucing lain di dalam rumah

Jika anda mempunyai beberapa ekor kucing, sekiranya rawatan kutu kucing tidak dilakukan secara menyeluruh, kucing anda yang lain boleh menjadi pembawa kutu bukan sahaja kepada kucing lain, malah di sekitar rumah.

Berjangkit daripada persekitaran di luar rumah atau haiwan liar

Sekiranya kucing anda kerap bermain di luar rumah, kutu kucing ini boleh berjangkit melalui persekitaran di luar rumah atau haiwan liar. Contohnya, sekiranya kucing anda bermain dan merangkak di celah bangunan, telur kutu daripada haiwan liar seperti tikus boleh berjangkit kepada si comel anda pula.

Manusia juga boleh menjadi pembawa kutu

Ya betul, anda sebagai pemilik kucing juga boleh menjadi punca mengapa kucing anda dijangkiti kutu. Sebagai manusia, anda boleh menjadi pembawa apabila anda keluar daripada rumah. Kutu kucing ini boleh hinggap di pakaian atau barangan yang akan dibawa pulang ke rumah.

Sewaktu keluar dari rumah

Tidak kira lawatan ke veterinar atau mungkin pulang ke kampung, kucing anda menghadapi risiko untuk dijangkiti oleh kutu setiap kali keluar dari rumah. 

Disebabkan saiz kutu ini terlalu kecil untuk dilihat jelas dengan mata kasar, ia sukar untuk dikesan sehingga ia sudah berada di peringkat yang teruk di mana kucing anda mula menggaru badannya.

Cara hapuskan kutu kucing 

Seterusnya, bagi menghapuskan kutu kucing ini secara menyeluruh bukanlah suatu proses yang mudah. Ia memerlukan proses yang menyeluruh dan dilakukan secara berkala. Jadi, jom kita lihat apa yang anda perlu lakukan bagi menghapuskan kutu kucing ini.

1. Buat pemeriksaan terperinci di seluruh badan kucing

Pertama sekali, lakukan pemeriksaan secara terperinci di seluruh badan kucing bagi mengenalpasti permukaan yang paling mudah kutu-kutu kucing ini berkumpul. Biasanya, kutu ini akan mudah berkumpul di tempat yang sukar dibersihkan oleh kucing seperti di bawah leher, di atas kepala dan juga di bawah perut.

Anda boleh melakukan langkah seperti berikut bagi mengenalpasti kehadiran kutu di badan kucing:

  • Pastikan kucing anda dalam keadaan relaks sebelum melakukan pemeriksaan ini. Ia akan memudahkan mereka memberikan kerjasama dan kurang untuk bergerak
  • Sediakan sikat kutu, tisu lembap atau bekas yang berisi air dengan sabun
  • Sikat badan kucing berulang kali dari badan hingga ke ekor. Lakukan langkah ini berulang kali beberapa kali sehari
  • Anda boleh menekan kutu ini dengan kuku, atau rendamkan sikat di dalam air sabun untuk membunuh kutu

Walaupun cara ini tidak dapat menghapuskan kutu sepenuhnya, ia akan mengurangkan bilangan kutu dan telur kutu yang menjangkiti badan kucing. Pemeriksaan terperinci terhadap bulu kucing ini boleh dilakukan sekerap yang perlu bagi memastikan jangkitan kutu ini terkawal dan tidak merebak ke tahap yang lebih teruk.

2. Bersihkan tempat tidur kucing 

Seterusnya, jangan lupa untuk bersihkan tempat tidur kucing anda. Tidak ada gunanya sekiranya anda membersihkan bulu kucing setiap hari tanpa membersihkan tempat tidur kucing.

Biasanya, tilam atau selimut yang tidak dibersihkan secara berkala akan mudah untuk menjadi tempat pembiakan kutu ini. Bayangkan kucing anda sudah bebas daripada kutu, namun kutu kucing daripada tempat tidur yang dibersihkan ini kembali bersarang di atas bulu kucing. Eee stresnya!

Jadi, jangan lupa bersihkan  tempat tidur kucing anda. Ini termasuklah selimut kesayangan atau bantal busuk si comel ini yang selalu menjadi tempat mereka berehat.

3. Jangan lupa bersihkan kawasan rumah yang lain

Anda sudah selesai membersihkan tempat tidur kucing? Jika ya, jangan lupa untuk membersihkan kawasan rumah yang lain juga. Tempat tidur kucing bukan satu-satunya tempat si comel ini bermain, tetapi seluruh kawasan rumah yang lain juga.

Kutu boleh hinggap di katil, celahan sofa malah perabot lama di rumah anda. Jika perlu, dapatkan bantuan servis pembersihan profesional untuk memastikan seluruh rumah anda benar-benar bersih daripada parasit ini.

4. Vakum seluruh kawasan rumah

Seterusnya, jangan lupa untuk vakum di seluruh kawasan rumah secara berkala. Kawasan yang kotor dan berhabuk akan mudah untuk menjadi perumah kutu ini tanpa kita sedari. Apatah lagi sekiranya kucing anda kerap bermain di luar rumah.

Setelah selesai  menggunakan vakum, jangan lupa untuk membersihkan vakum yang telah digunakan. Tidak mustahil telur-telur kutu ini juga boleh menjadikan vakum anda pula sebagai sarang mereka!

5. Cuba gunakan kolar anti kutu pada kucing

Salah satu cara yang paling mudah untuk menghapuskan kutu adalah menggunakan kolar anti kutu pada kucing. Kolar anti kutu ini mengandungi bahan yang akan menghalau kutu pada badan kucing.

Cara ini lebih mudah berbanding dengan menyapu ubat kutu pada badan kucing yang akan berakhir dengan kucing anda cuba menjilatnya. Ia juga lebih tahan lama berbanding dengan hanya menyapu krim di badan.

Namun, bagi kucing yang tidak sesuai menggunakan kolar ini, mereka akan mengalami iritasi pada bahagian leher. Malah, bagi jangkitan kutu di bahagian lain yang lebih teruk, kolar anti kutu ini mungkin tidak cukup berkesan bagi seluruh badan.

Selain itu, pastikan anda membaca arahan dan juga panduan yang diberikan kerana terdapat beberapa bahan pada kolar anti kutu ini tidak sesuai digunakan yang boleh mengakibatkan kematian sekiranya tidak digunakan dengan betul.

6. Gunakan syampu kutu kucing

Selain itu, anda juga boleh menggunakan syampu kutu pada kucing bagi membantu membunuh kutu dewasa serta telur kutu. Ia merupakan salah satu alternatif rawatan yang boleh dilakukan secara berkala.

Sebelum membuat pemilihan syampu kutu kucing ini, pastikan anda membaca bahan yang digunakan serta cara penggunaanya yang betul. Hal ini kerana, setiap syampu mempunyaii fungsi dan rawatan yang khusus. Sekiranya anda ingin menghapuskan kutu, dapatkan syampu yang khas bagi merawat masalah kutu ini.

Masih buntu untuk mencari syampu mana yang boleh digunakan? Jangan bimbang,  baca panduan kami mengenai 15 syampu mandi kucing terbaik di Malaysia (termasuk tips penjagaan).

7. Dapatkan rawatan veterinar

Sekiranya masalah kutu ini masih belum berjaya dihapuskan, ini masanya untuk mendapatkan rawatan veterinar. Dengan mendapatkan rawatan veterinar, masalah kutu ini dapat dipantau dan dihapuskan dengan cara yang lebih berkesan.

Pihak veterinar akan mencadangkan beberapa rawatan yang sesuai sama ada dengan ubat pil, krim ataupun suntikan jika perlu. Bagi proses ini, ia amat penting bagi mendapatkan rawatan veterinar kerana ubat pil, krim dan suntikan ini boleh menjadi berbahaya kepada kucing sekiranya tidak mengikut dos yang ditetapkan.

Dengan mendapatkan rawatan profesional daripada veterinar, ia akan memastikan kucing anda dirawat dengan selamat. Selain itu, anda juga boleh mendapatkan rawatan susulan bagi memastikan jangkitan kutu kucing ini dihapuskan sepenuhnya. Elakkan memberikan ubat atau krim kutu tanpa pengawasan daripada pihak veterinar.

Sebenarnya, proses menghapuskan kutu bukanlah suatu perkara yang mudah. Anda perlu komited menghapuskannya bukan sahaja pada badan si comel, malah memerlukan pembersihan rumah secara berkala.

Dengan bantuan pihak veterinar, masalah kutu ini juga dapat dibendung sebelum menjadi lebih teruk. Jika kos rawatan veterinar ini membimbangkan anda, apa kata anda kurangkan beban kewangan dengan mendaftar di Oyen Pet Insurance yang melindungi segala kos rawatan dan pembedahan sehingga RM8,000. Jom semak kelayakan di sini

Anda juga boleh mendaftar Oyen Pet Wellness untuk lebih perlindungan termasuk pemeriksaan kesihatan dan ubat cacing!