Thara
We usually reply within 1 working day (Mon-Fri, 9am-5pm) 😊
Customer Care Team
Hi there
How can i help you today?
Start Whatsapp Chat
Locate your nearest vet with the new Oyen Vet Finder!
Find Vet Now

Jenis-Jenis Pasir Kucing: Kelebihan, Kekurangan & Cara Penggunaannya

Expert for this article
This is some text inside of a div block.
Table of content

Pasir kucing merupakan elemen penting dalam penjagaan kebersihan kucing peliharaan, terutamanya bagi mereka yang tinggal di dalam rumah.

Dengan pelbagai jenis pasir kucing yang ditawarkan di pasaran, setiap satunya juga mempunyai ciri tersendiri dari segi keupayaan menyerap bau, tahap habuk, kemudahan pembersihan dan keselesaan kepada kucing.

Memahami perbezaan antara jenis-jenis pasir ini dapat membantu anda membuat pilihan yang terbaik untuk si comel. 

Dalam artikel ini, kami akan menerangkan secara terperinci kelebihan, kekurangan dan cara penggunaan setiap jenis pasir kucing agar anda dapat menyesuaikannya dengan keperluan kucing dan gaya hidup anda.

Apa itu Pasir Kucing

Pasir kucing ialah bahan penting yang digunakan dalam kotak najis untuk menyerap air kencing dan mengawal bau, supaya kawasan tempat kucing membuang najis kekal bersih dan tidak berbau.

Pada mulanya, orang guna abu, pasir biasa dan tanah liat, tetapii ia kurang berkesan. Pada tahun 1940, Edward Lowe memperkenalkan tanah liat berbutir yang boleh menyerap bau dan air dengan lebih baik, dan beliau menamakannya ‘kitty litter’.

Kemudian, Thomas Nelson menemui tanah liat bentonit yang lebih murah dan mempunyai kelebihan menggumpal bila basah, jadi lebih mudah untuk dibersihkan.

Sekarang, pasir kucing moden mengandungi bahan seperti silika dan tambahan seperti karbon, soda penaik, kayu cedar, dan vanila untuk menyerap bau dengan lebih berkesan tanpa mengganggu deria bau sensitif kucing.

Fungsi Pasir Kucing di Rumah

Pasir kucing berfungsi sebagai tempat untuk kucing membuang dan menanam najis serta air kencing, sama seperti yang dilakukan oleh kucing liar di habitat semula jadi mereka.

Dengan adanya pasir kucing, si bulus boleh menggali dan menutup najisnya di satu tempat, sekali gus memudahkan pemilik untuk kutip dan buang kotoran tersebut.

Dulu, hanya pasir jenis tanah liat digunakan kerana ia membolehkan kucing berkelakuan secara semula jadi dan memudahkan kerja pembersihan. Tapi sekarang, fungsi pasir kucing lebih daripada sekadar menyerap.

Ciri-ciri lain seperti keupayaan mengawal bau, boleh menggumpal atau tidak, kurang berhabuk, ada atau tiada pewangi, dan jenis bahan yang digunakan juga menjadi faktor penting yang dipertimbangkan oleh pemilik untuk memilih pasir kucing terbaik.

Jenis-jenis Pasir Kucing

1. Pasir Kucing Tanah Liat (Clay Cat Litter)

Pasir kucing tanah liat merupakan jenis paling lama dan  masih popular digunakan oleh pemilik kucing. Ia terbahagi kepada dua jenis utama iaitu clumping (menggumpal) dan non-clumping (tidak menggumpal).

Jenis clumping lebih mudah untuk dibersihkan dan mempunyai kawalan bau yang baik. Manakala jenis non-clumping lebih murah, tetapi kurang berkesan dalam mengawal bau dan memerlukan penyelenggaraan lebih kerap.

Antara kelemahan pasir tanah liat ialah ia boleh menghasilkan habuk, berat, sukar terurai secara semula jadi, dan tidak sesuai dibuang ke dalam tandas.

Kini, ada pilihan pasir tanah liat yang bebas habuk dan tanpa pewangi, serta ada juga yang mengandungi bahan penarik untuk bantu melatih kucing menggunakan kotak pasir.

2. Pasir Kucing Tofu (Tofu Cat Litter)

Pasir kucing tofu diperbuat daripada serat kacang soya dan kini semakin popular kerana ia mesra alam.

Ia ringan, tidak berhabuk, tidak melekat pada kaki kucing, mudah menggumpal, dan boleh terurai secara semula jadi. Malah, ia boleh dibuang ke dalam tandas dalam kuantiti kecil.

Namun, pasir ini mudah rosak jika terkena kelembapan kerana boleh tumbuh kulat, jadi jangka hayatnya pendek. Harganya juga lebih mahal berbanding pasir biasa.

Walaupun begitu, ia mampu menyerap bau dengan baik dan sesuai digunakan untuk kompos.

3. Pasir Kucing Silika (Silica Cat Litter)

Pasir kucing silika diperbuat daripada pasir kuarza yang diproses menjadi kristal. Ia sangat menyerap dan boleh mengawal bau dengan baik.

Pasir ini tahan lama, ringan, kurang habuk dan tidak beracun. Namun, ia tidak menggumpal, jadi perlu digaul setiap hari untuk pastikan ia kekal bersih.

Selain itu, harganya agak mahal dan pasirnya mudah melekat pada kaki kucing serta bertabur di lantai.

Ada juga jenama yang menambah teknologi penukar warna pada pasir ini untuk membantu pemilik memantau kesihatan air kencing kucing.

4. Pasir Kucing Kertas (Paper Cat Litter)

Pasir kucing jenis ini diperbuat daripada kertas kitar semula atau surat khabar yang dicincang. Ia mesra alam, tidak berbau, kurang habuk, mudah terurai dan tidak beracun, jadi sangat sesuai untuk kucing yang ada luka atau masalah pada tapak kaki.

Namun, pasir kertas tidak menggumpal, susah dibersihkan, perlu ditukar lebih kerap, dan kurang berkesan dalam mengawal bau. Oleh itu, ia lebih sesuai digunakan untuk jangka masa pendek.

5. Pasir Kucing Jagung (Corn Cat Litter)

Pasir kucing berasaskan jagung terkenal kerana boleh menggumpal, mengawal bau dengan baik dan boleh dikompos. Ia ringan, kurang habuk, dan lebih selesa pada kaki kucing.

Namun, pasir ini mudah berkulat dan boleh tercemar dengan aflatoksin iaitu sejenis toksin yang berbahaya kepada haiwan.

Walaupun ada jenama yang menjamin keselamatan, masih ada pemilik kucing yang rasa ragu-ragu. Selain itu, keupayaan pasir ini untuk menggumpal juga bergantung pada jenama yang digunakan.

6. Pasir Kucing Pine (Pine Litter)

Pasir pine diperbuat daripada habuk kayu pain yang dipadatkan dalam bentuk pelet atau serbuk. Ia ringan, rendah habuk, mudah menyerap, dan terkenal dengan kawalan bau semula jadi.

Terdapat dalam versi menggumpal dan tidak menggumpal, namun teksturnya mungkin kurang digemari sesetengah kucing. Ia merupakan pilihan mesra alam yang efektif dalam mengurangkan bau tanpa bahan kimia.

Tips Sebelum Memilih Pasir Kucing yang Sesuai

Memilih pasir kucing yang sesuai boleh jadi agak mencabar, terutamanya jika kucing anda cerewet. Selain memastikan pasir mampu menyerap bau dan tidak mudah bertabur di lantai, ia juga perlu selesa untuk kucing anda guna.

Berikut ialah beberapa perkara penting yang perlu anda pertimbangkan:

1. Bilangan Kucing di Rumah

Jika anda membela lebih daripada seekor kucing, anda perlu sediakan lebih banyak kotak pasir supaya kucing tidak berebut tempat.

Cadangan umum ialah satu kotak pasir untuk setiap kucing, ditambah satu lagi. Contohnya, jika anda ada dua ekor kucing, sebaiknya sediakan tiga kotak pasir.

Kebanyakan kucing tidak selesa berkongsi pasir yang sudah ada bau kucing lain, dan ini boleh menyebabkan mereka membuang najis di tempat lain.

Untuk rumah yang ada banyak kucing, pilih jenis pasir yang mempunyai kawalan bau yang lebih kuat.

2. Kesesuaian dan Kecenderungan Kucing

Setiap kucing ada kesukaan tersendiri terhadap tekstur dan bau pasir. Ada kucing yang tidak suka pasir yang terlalu kasar, berbau wangi, atau berdebu. Jika anda tersilap pilih jenis pasir, kucing mungkin tidak mahu menggunakannya langsung.

Kalau anda mahu tukar ke jenis pasir yang baru, lakukan secara perlahan-lahan. Mulakan dengan campur 25% pasir baru bersama pasir lama selama beberapa minggu supaya kucing boleh menyesuaikan diri.

3. Lokasi Kotak Pasir di Rumah

Lokasi kotak pasir juga sangat penting. Letakkan kotak pasir di tempat yang sunyi, jauh dari laluan utama serta kawasan kucing makan atau tidur.

Ini akan memberi kucing privasi dan juga mengelakkan bau yang tidak menyenangkan.

Jika ruang rumah anda kecil atau kotak pasir diletakkan dekat ruang tamu, pilih pasir yang tidak berhabuk dan mempunyai kawalan bau yang baik.

4. Jenis Kotak Pasir yang Digunakan

Jenis kotak pasir juga boleh mempengaruhi keselesaan kucing. Kotak pasir yang bertutup mungkin nampak kemas bagi manusia, tetapi ada kucing yang tidak suka kerana bau mudah terkumpul di dalam.

Kalau kucing anda tidak suka kotak bertutup, cuba guna kotak tanpa penutup tetapi yang berdinding tinggi supaya pasir tidak mudah bertabur semasa kucing menggali.

Penjagaan dan Kebersihan Pasir Kucing 

Menjaga kebersihan pasir kucing bukan sahaja penting untuk keselesaan dan kesihatan kucing, tetapi juga untuk memastikan rumah bebas bau. 

Berikut adalah langkah-langkah penting yang perlu diamalkan secara konsisten:

1. Kutip Gumpalan Najis dan Air Kencing Setiap Hari

Gunakan penyodok pasir untuk membuang najis dan gumpalan air kencing dari kotak pasir sekurang-kurangnya sekali sehari. 

Masukkan sisa tersebut ke dalam beg plastik, ikat dengan kemas, dan buang ke dalam tong sampah.

Jika anda tidak mencuci seluruh kotak, tambahkan semula pasir baru secukupnya bagi menggantikan yang telah dibuang. Untuk kurangkan bau, anda boleh taburkan sedikit baking soda di atas pasir yang baru.

2. Cuci Kotak Pasir Sekurang-kurangnya Seminggu Sekali

Kosongkan semua pasir dari dalam kotak, kemudian rendam kotak pasir dalam air panas selama beberapa minit. Biasanya, air panas sudah cukup untuk menanggalkan kotoran.

Anda juga boleh tambah sedikit sabun pencuci pinggan untuk bantu melonggarkan sisa yang melekat.

Jika mahu cucian lebih bersih, campurkan sedikit cuka atau hydrogen peroxide ke dalam air untuk membunuh bakteria dan hilangkan bau.

3. Keringkan dan Isikan Semula

Selepas mencuci, lap kotak pasir hingga kering dengan tisu atau kain bersih. Taburkan sedikit baking soda di bahagian bawah kotak untuk membantu menyerap bau.

Kemudian, isikan semula kotak dengan pasir kucing yang baru. Letakkan setebal 3–4 inci jika anda guna pasir yang menggumpal, dan 2–3 inci jika guna pasir yang tidak menggumpal.

4. Sediakan Kotak Pasir yang Mencukupi

Jika anda ada lebih daripada seekor kucing, pastikan setiap kucing ada kotak pasir sendiri, ditambah satu kotak tambahan. Sebagai contoh, dua ekor kucing perlukan sekurang-kurangnya tiga kotak pasir.

Ini penting untuk elak kucing stres kerana bau najis kucing lain atau berebut tempat untuk membuang.

5. Elakkan Kesalahan Umum

Jangan buang gumpalan najis atau pasir kucing ke dalam tandas kerana ia boleh menyebabkan saluran paip tersumbat.

Elakkan guna pencuci yang mengandungi ammonia kerana baunya boleh merengsakan hidung dan kulit kucing.

Selain itu, jangan letakkan kotak pasir di tempat yang sempit, panas, bising atau terlalu dekat dengan tempat kucing makan.

6. Pilih Lokasi Yang Sesuai

Letakkan kotak pasir di tempat yang tenang dan mudah untuk kucing pergi, tetapi jauh daripada tempat makan dan minum mereka.

Kucing suka membuang najis di tempat yang bersih dan ada privasi, sama seperti manusia.

Penutup

Untuk memastikan kucing anda sentiasa sihat dan mendapat perlindungan terbaik, jangan abaikan aspek perlindungan kewangan mereka. 

Dapatkan insurans kucing yang komprehensif dan mampu milik hanya di Oyen, perlindungan menyeluruh untuk kucing kesayangan anda, termasuk rawatan veterinar, kemalangan, dan banyak lagi. 

Lindungi mereka hari ini, demi ketenangan anda esok.