Thara
We usually reply within 1 working day (Mon-Fri, 9am-5pm) 😊
Customer Care Team
Hi there
How can i help you today?
Start Whatsapp Chat
Locate your nearest vet with the new Oyen Vet Finder!
Find Vet Now

Apa Yang Perlu Anda Tahu Sebelum Memelihara Kucing Parsi

Expert for this article
This is some text inside of a div block.
Table of content

Kucing Parsi merupakan salah satu baka kucing yang paling popular dan mudah dikenali di seluruh dunia. Dengan bulunya yang panjang, lebat dan mewah, wajah comel yang rata serta perangai yang lembut dan manja, tidak hairanlah ramai pencinta kucing jatuh hati pada baka ini.

Walaupun kucing Parsi sangat comel, ia sebenarnya memerlukan penjagaan rapi dan komitmen yang tinggi dalam jangka masa panjang. Jika anda sedang berfikir untuk memelihara kucing Parsi, artikel ini akan membantu anda faham semua perkara penting sebelum membawa si gebu pulang ke rumah.

Daripada penjagaan bulu, kesihatan, sehinggalah kepada pemakanan. Jom kenali dengan lebih dekat si manja yang penuh dengan keistimewaan ini! 

Apa itu Kucing Parsi

Kucing Parsi ialah salah satu baka kucing paling terkenal di dunia. Ia dikenali kerana mempunyai bulu yang sangat penjang dan lembut, wajah yang comel dan rata, serta sifatnya yang manja dan tenang.

Walaupun asal sebenar kucing Parsi tidak dapat dipastikan, ukiran lama dari Mesir yang wujud sejak tahun 1684 sebelum Masihi sudah menunjukkan gambar kucing berbulu panjang yang dipercayai adalah nenek moyang kucing Parsi. 

Pada tahun 1620, kucing ini mula diperkenalkan ke Eropah melalui Itali dan kemudiannya tersebar ke negara lain seperti Turki, Perancis dan England. Kucing Parsi yang kita kenal hari ini lebih banyak berkait dengan baka kucing dari Eropah.

Warna dan Karakter Kucing Parsi

Warna Kucing Parsi

Kucing Parsi boleh didapati dalam pelbagai corak seperti tabby (berbelang), tortoiseshell (bercorak seperti tempurung kura-kura), warna solid (satu warna sahaja), dan bicolor (gabungan dua warna). Antara warna yang biasa ialah hitam, putih, kelabu kebiruan, krim, merah, ungu lembut (lilac), perak, emas, dan coklat.

Karakter Kucing Parsi

Kucing Parsi bersaiz sederhana hingga besar dengan badan yang kuat dan dada yang lebar. Kakinya pendek tetapi berotot, dan belakangnya juga pendek serta kukuh, membuatkan ia nampak padat dan tegap.

Ciri paling mudah dikenali pada kucing Parsi ialah wajahnya yang rata, pipi bulat, muncung pendek, hidung pesek, dagu kemas, telinga sederhana, dan mata besar berbentuk bulat.

Bulu kucing Parsi pula panjang, tebal dan mempunyai lapisan bawah (undercoat) yang padat, menjadikannya kelihatan sangat gebu dan menarik.

Selain rupa fizikalnya yang unik, kucing Parsi juga dikenali dengan perangai yang lembut, manja dan tenang. Ia tidak terlalu aktif dan lebih suka berehat sambil dimanja, sebab itu kucing ini sangat sesuai dijadikan haiwan peliharaan dalam rumah.

Bagaimana Menjaga Kucing Parsi

Kesihatan Kucing Parsi

Kucing Parsi mudah terdedah kepada beberapa masalah kesihatan genetik yang memerlukan penjagaan khas. Antara penyakit yang biasa dialami termasuk:

  • Penyakit jantung hipertrofik (hypertrophic cardiomyopathy) yang boleh menyekat aliran darah
  • Penyakit mata seperti retina merosot (progressive retinal atrophy) dan bulu tumbuh ke dalam mata (trichiasis)
  • Penyakit buah pinggang polisistik (PKD) yang boleh membawa kepada kegagalan buah pinggang jika tidak dirawat

Selain itu, bentuk muka rata kucing Parsi menyebabkan mereka berisiko mengalami sindrom brachycephalic, iaitu masalah pernafasan seperti dengkuran atau kesukaran bernafas.

Sebab itu, pemilik perlu  sentiasa periksa dan bersihkan bahagian hidung dan lipatan di muka kucing secara kerap untuk elakkan jangkitan atau masalah lain.

Memilih kucing daripada pembiak baka yang bertanggungjawab sangat penting kerana mereka biasanya akan buat saringan kesihatan ke atas ibu bapa kucing untuk pastikan tiada penyakit genetik diwarisi.

Selain itu, pemilik juga digalakkan bawa kucing ke klinik haiwan secara berkala untuk dapatkan vaksin, pemeriksaan kesihatan, dan rawatan pencegahan supaya kucing sentiasa sihat dan ceria.

Penjagaan Bulu dan Kebersihan

Kucing Parsi terkenal dengan bulunya yang panjang, tebal dan gebu, jadi penjagaan bulu sangat penting dan perlu dilakukan setiap hari. Menyikat bulu setiap hari boleh elak bulu kusut dan kurangkan risiko bebola bulu (fur ball) terbentuk.

Pada musim luruh, kucing akan gugur lebih banyak bulu, jadi anda perlu sikat bulunya lebih kerap. Ada pemilik yang pilih untuk hantar kucing ke salon haiwan supaya kucing dimandikan dan digroom secara profesional. Ini bantu pastikan bulu dan kulit sentiasa bersih dan sihat.

Kalau anda mahu mandikan sendiri kucing, guna syampu khas untuk kucing yang lembut dan selamat. Pastikan syampu dibilas sepenuhnya.

Selain itu, biasakan kucing sejak kecil dengan aktiviti seperti potong kuku, berus gigi dan bersihkan muka. Lagi awal kucing dibiasakan, lagi senang anda jaga bila dia sudah semakin besar nanti.

Diet dan Pemakanan Kucing Parsi

Pemakanan yang seimbang adalah kunci kepada kesihatan kucing Parsi. Mereka perlu diberikan makanan kucing berkualiti tinggi yang lengkap dengan nutrien penting.

Disebabkan kucing Parsi memang suka berehat dan manja, mereka mudah jadi gemuk jika tidak dikawal. Oleh itu, pemilik perlu pantau jumlah makanan yang diberi setiap hari dan elakkan beri snek secara berlebihan.

Air bersih dan segar juga perlu disediakan setiap masa. Untuk memilih makanan yang paling sesuai, dapatkan nasihat daripada doktor haiwan terutamanya jika kucing anda ada masalah buah pinggang atau berat badan berlebihan.

Aktiviti, Permainan dan Rangsangan Mental

Walaupun kucing Parsi terkenal dengan sikap yang tenang dan suka berehat, mereka tetap perlukan aktiviti setiap hari untuk kekal sihat dan elak jadi gemuk.

Permainan ringan seperti bola, tali, atau permainan jenis "fishing-rod" boleh bantu mereka kekal aktif dan menyalurkan naluri memburu secara semula jadi.

Aktiviti ini bukan saja baik untuk kesihatan fizikal, tetapi juga bantu mereka lepaskan tenaga dengan cara yang sihat.

Dari segi mental, kucing Parsi juga perlukan rangsangan supaya tidak mudah bosan. Mainan seperti teka-teki makanan (food puzzle) sangat sesuai, terutama untuk kucing yang suka makan.

Selain itu, tukar mainan mereka dari semasa ke semasa supaya mereka tidak cepat jemu. Kucing Parsi juga sangat mesra dan suka dimanja, jadi luangkan masa setiap hari untuk bermain dan berinteraksi dengan mereka. 

Ini akan menguatkan hubungan antara anda dan kucing serta bantu jaga emosi dan kesejahteraan mereka.

Penutup

Memelihara kucing Parsi bukan sekadar tentang memiliki haiwan yang comel dan berbulu gebu, ia adalah komitmen untuk memberi kasih sayang, penjagaan rapi, dan perhatian kesihatan secara berterusan.

Daripada keperluan menyikat bulu panjang setiap hari sehinggalah pemeriksaan kesihatan secara berkala, pemilik kucing Parsi perlu ada ilmu yang cukup dan bersedia untuk bertanggungjawab menjaga mereka dengan baik.

Untuk memastikan kucing Parsi anda sentiasa dilindungi, Oyen menyediakan pelan perlindungan perubatan yang menyeluruh untuk kucing, termasuk perlindungan kos rawatan, pembedahan, vaksinasi, dan rawatan kecemasan. 

Anda juga boleh membuat tuntutan dengan mudah secara dalam talian tanpa perlu dokumen yang rumit. Dengan perlindungan dari Oyen, anda boleh fokus untuk memberikan kehidupan terbaik kepada si manja anda, tanpa risau tentang beban kos perubatan.